Thursday 4 August 2011

PUASA: LANDASAN DAKWAH DAN ISTIMEWA...~

Ramadhan bulan pesta ibadah buat hamba Allah. Jadi kita pun berebut-rebut mahu membuat bermacam-macam ibadah. Tidak cukup berpuasa pada siang hari, kita sambung pula dengan solat sunat di sebelah malam. Pendek kata, kita cuba raih peluang yang ada untuk memperoleh pahala dan rahmat Allah.
Bagaimanapun, Ramadhan bukan semata-mata untuk beribadah. Sebenarnya itulah peluang terbaik untuk kita berdakwah sekali gus memperlihatkan tentang betapa indahnya Islam di mata bukan Muslim. Namun, untuk melakukannya, umat Islam tidak boleh berpuasa 'kosong' ataupun cuma menahan lapar dan dahaga.
Menurut Koordinator Unit Pendidikan Asas dan Pemikiran Islam, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Ustazah Nafisiah Hj Ab Rahman, untuk berdakwah menerusi ibadah puasa, seorang Muslim perlu melaksanakan puasa dengan cara memahami dan menghayatinya. Pada masa yang sama, dia berpuasa dengan penuh rasa ikhlas, khusyuk, reda serta tawaduk kepada Allah selain tahu dan faham akan matlamat sebenar perlaksanaannya.
Jelas beliau, dakwah pada bulan tersebut adalah lebih mudah kerana ibadat puasa dilakukan oleh keseluruhan umat Islam secara 'berjemaah'. Masing-masing bersahur, berpuasa dan berbuka pada waktu yang sama menyebabkan nilai-nilai indah yang ada pada Islam dapat disampaikan secara ketara dan jelas.

No comments:

Post a Comment